Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, August 31, 2010

Merdeka 1957 di Kuantan

Sempena kemerdekaan ke-53 hari ini, ingin saya berkongsi dengan pemantau setia Pancapersada beberapa gambar memoir sambutan kemerdekaan yang telah di adakan pada hari Sabtu, 31 Ogos 1957 bersamaan 5 Safar 1377 H di Padang Utama Kuantan (Padang MPK 2, berhadapan Masjid Negeri sekarang). Gambar-gambar ini boleh didapati dalam buku Early Kuantan Pictures 1903 - 1963, susunan Chan Meng Sing (2007).

Almarhum Baginda Sultan Pahang Abu Bakar (dalam bulatan)

Disebabkan ketika itu Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Pahang Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah ibni Almarhum al-Muadzam al-Mu'tasim billah Sultan Abdullah berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri upacara rasmi di Stadium Merdeka (gambar atas), maka Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Haji Ahmad Shah Ibni Sultan Abu Bakar telah diamanahkan bagi membuat perisyhtiharan Declaration of Independence.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Haji Ahmad Shah sedang membaca perisytiharan kemerdekaan

Selepas kemerdekaan diisytiharkan, laungan 'Merdeka' dikumandangkan sebanyak 3 kali

Doa dibacakan agar kemerdekaan terus kekal terpelihara

Tengku Mahkota Pahang melakukan pemeriksaan barisan Guard of Honour

Tuesday, August 24, 2010

Berbuka Bersama Keluarga DiRaja


Baru-baru ini KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta'in Billah dan juga KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah binti Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menghadiri majlis berbuka puasa di perkarangan Masjid Kg. Paya Luas, Temerloh. Majlis berbuka puasa ini diadakan bersempena dengan lawatan baginda berdua kepada mangsa-mangsa ribut di Kuala Krau dan juga bersempena perasmian 'wajah baru' Masjid Kg. Paya Luas.

Bagi masyarakat di Kg. Paya Luas, majlis berbuka puasa kali ini begitu istimewa memandangkan KDYTM turut diiringi oleh paduka-paduka anakanda iaitu pewaris takhta; Y.M Tengku Hassan al-Ibrahim Alam Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (gambar kiri), Y.M Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah bin Tengku Mahkota Tengku Abdullah (gambar bawah, kiri) dan Y.M Tengku Amir Nasser Ibrahim bin Tengku Arif Bendahara Ibrahim (gambar bawah, kanan).


Turut kelihatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Y.B Dato' Haji Mohd. Sahfri bin Abd. Aziz (kiri)

Monday, August 23, 2010

Terawih


KDYMM Sultan Pahang memandu sendiri ke masjid

Baru-baru ini Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ibni Sultan Abu Bakar Riayatuddin al-Muadzam Shah telah bersama-sama dengan rakyat jelata menunaikan solat Terawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. Hadir sama menyambut ketibaan KDYMM Tuanku ialah YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Hj. Abdul Wahid bin Hj. Wan Hassan (Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang), Sahibus Samahah Dato' Haji Abd. Rahman bin Osman (Mufti Negeri Pahang), YH Dato' Haji Mohd. Ghazali bin Abd. Aziz (Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang), Haji Sarafudin Aisa bin Osman (Imam Besar Masjid Negeri), pembesar-pembesar negeri serta pegawai masjid.

YDH Dato’ Sri Wan Hj. Abdul Wahid bin Hj. Wan Hassan (kanan) mengiringi KDYMM Sultan ke Dewan Solat

Tuan Haji Mohd Khalil bin Mohd. Zari (Imam 1 Masjid Negeri Pahang) mengimamkan solat

Dalam usia baginda yang menginjak 79 tahun, didoakan semoga Allah s.w.t memberi kesihatan yang baik agar KDYMM Tuanku dapat beribadat dengan selesa.

Friday, August 20, 2010

Kad Raya

Hari ini semasa pulang ke rumah dari menziarahi kediaman Allahyarhamah Hjh. Maimunah Hj. Ismail (Makcik Munah) di Pekan, saya menerima sampul surat yang agak mendebarkan. Melihat kepada luarannya, saya tertanya-tanya apa agaknya isi sampul surat ini?

Oh rupa-rupanya saya menerima layangan kad raya daripada KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang. Apa yang menarik, kad raya ini begitu santai. KDYTM Tuanku sekadar mencatatkan nama ringkas 'Abdullah dan Azizah' sahaja dalam ruangan initial (rujuk gambar di bawah).

Buat pengetahuan semua, gabungan nama 'Abdullah' dan 'Azizah' inilah yang telah diabadikan oleh KDYTM Tuanku berdua sebagai lambang kasih sejati dengan singkatan Abdulaziz. Jika kita melihat kepada nama Istana Abdulaziz, maka itulah rahsia indah disebalik nama tersebut.

Apapun, junjung kasih setinggi-tingginya kepada KDYTM Tuanku atas layangan kad ini. Bak kata pepatah Inggeris : It's the thought that counts...It's the thought that matters.

Wednesday, August 18, 2010

Sejarah Bendera Negeri Pahang


Kebiasaannya apabila ditanya tentang bendera Pahang, masyarakat akan teringat kepada gabungan rona hitam dan putih. Pada masa dahulu, masyarakat mengandaikan bahawa warna hitam sebagai warna rakyat jelata, lalu telah mentafsirkan skima hitam pada bendera-bendera negeri sebagai 'rakyat jelata' yang dipegang oleh sistem politik moden.

Hakikat sebenarnya, rona hitam adalah simbol kebesaran Bendahara iaitu suatu simbolik melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintah di Pahang adalah bertaraf Bendahara. Putih pula adalah melambangkan raja. Maka tambahan warna putih di atas rona hitam membawa makna bahawa Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan beraja. Ia juga membawa erti bahawa negeri ini ada keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tatasusila serta kuasa-kuasa yang tertentu yang ada pada raja sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Inilah wa'ad Demang Lebar Daun dengan Sang Nila Utama berkenaan peranan Bendahara sebagai tuan asal dan sebenar kepada bangsa Melayu.

Baru-baru ini saya berpeluang menatap kembali buku garapan Suzana binti Hj. Othman, Institusi Bendahara : Dinasti Bendahara Johor - Pahang, Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Johor, 2002. Beliau yang merupakan seorang penulis prolifik dan pengkaji isu-isu istana Kesultanan Melayu ada mencatatkan berkenaan transformasi bendera negeri-negeri yang diperintah oleh Bendahara (hlm. 44).

Menurut beliau, bendera serba hitam (gambar kiri) merupakan bendera Bendahara sejak turun temurun. Berkemungkinan digunakan dari zaman Melaka lagi kerana kesultanan-kesultanan beraja yang mengambil nobat dari Melaka serta menggunakan khidmat bendahara yang berasal dari satu keluarga bendahara Melaka semuanya mempunyai skima hitam pada bendera kesultanan tersebut, contohnya Perak, Johor Lama dan Terengganu. Negeri Sembilan juga mempunyai skima warna hitam pada benderanya kerana pernah dipegang oleh Bendahara dari zaman Tun Perak. Pahang yang dipegang oleh Dato' Bendaharanya menggunakan bendera serba hitam seperti di sebelah sehinggalah zaman Wan Ahmad dalam tahun 1863.

Dengan mangkatnya Sultan Mahmud Shah II dalam peristiwa 'Marhum Mangkat di Julangan' pada tahun 1699, Dato' Bendahara Paduka Raja Tun Habib Abdul Jalil telah dinaikkan takhta bagi menggantikan baginda kerana Sultan Mahmud tiada berputera. Sebagai Sultan Johor, Tun Habib Abdul Jalil bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (l699 - 1718). Bendera di sebelah kanan merupakan bendera kesultanan Johor Lama semenjak zaman Sultan Abdul Jalil. Skima hitam melambangkan warna bendahara bagi menunjukkan asal Sultan Abdul Jalil daripada keturunan bendahara, skima putih menunjukkan warna raja, melambangkan status baginda yang kemudiannya menjadi Sultan Johor yang berdaulat. Apabila Bendahara Wan Ahmad memerintah Pahang dalam tahun 1882, baginda menggunakan corak bendera (kiri) dan seterusnya digelar Sultan Ahmad al-Muadzam Shah. Pada zaman kemudiannya, sedikit perubahan dibuat kepada bendera tersebut.


Beberapa perubahan lain bendera Pahang boleh juga dilihat dalam http://fotw.net/flags/my-pahan.html yang ada memaparkan contoh grafik bendera Pahang versi Obsolete Jack dan juga versi British Resident's Flag.

Monday, August 16, 2010

Sejarah Lagu Negeri Pahang

Berdasarkan rekod yang terdapat di Arkib Negara Cawangan Timur di Kuala Terengganu, ada beberapa catatan menarik tentang proses penciptaan Lagu Negeri Pahang.

Sebenarnya hasrat serta cadangan untuk mewujudkan lagu rasmi Negeri Pahang telah mula semenjak bulan Disember 1924 lagi. Justeru sebuah lagu yang terpilih telah dipersembahkan untuk mendapat limpah perkenan KDYMM Sultan Pahang pada 1 Mei 1925, melalui surat Bilangan 1675-10/1924.

Catatan daripada Residen British mengenai lagu ini (lihat lampiran surat di bawah) dikatakan berasal dari Lagu Perang Pahang dan dikarang semula dengan penyesuaian untuk dijadikan Lagu Negeri Pahang oleh seorang yang bernama Cik Shodder. Dalam suratnya bertarikh 1 Mei 1925 itu, H.W Thompson (Residen British di Kuala Lipis ketika itu) telah menjanjikan untuk menghantar skor muzik lagu tersebut ke Kuala Lumpur bagi dimainkan oleh State Band semasa mesyuarat Federal Council.


Salinan Surat Residen British


Transelasi salinan surat Residen British :

QAULAHUL-HAQ

Warkatul ikhlas yang terbit daripada fuadul-zakiyyah (hati yang suci) hening jernih yang tiada menaruh syak dan waham selagi ada peredaran cakerawala matahari dan bulan bintang iaitu daripada beta Tuan H. W Thomson British Resident Pahang Kuala Lipis, mudah-mudahan terhampar ke majlis Seri Paduka sahabat beta Yang Maha Mulia al-Mustain Billah K.C.M.G. Yang Dipertuan Negeri Pahang bersemayam di Istana Pekan dengan kesejahteraannya.

Waba'duh daripada itu, ehwal dimaklumkan ke majlis Seri Paduka sahabat beta maka berkenaan dengan hal Lagu Negeri Pahang asalnya Lagu Perang Pahang yang dikarang oleh Miss Shodder sebagaimana yang telah dipersetujukan oleh Seri Paduka sahabat beta pada bulan Disember yang lalu. Maka sudahkan dibenarkan oleh Tuan Yang Terutama High Commissioner dan satu salinan daripada karangan lagu itu telah dihantarkan kepada State Band di Kuala Lumpur akan menggunakannya pada Mesyuarat Federal Council. Hanyalah dimaklumkan serta diiringi dengan berbanyak-banyak tabik jua adanya.

Termaktub kepada

1 haribulan Mei 1925

H.W Thomson
British Resident
Pahang

KDYMM Sultan Pahang pula dalam surat baginda kepada Residen British yang bertarikh 8 Mei 1925 (lihat lampiran di bawah) telah mengucapkan penghargaan dan terima kasih baginda atas kelulusan yang diberikan.

Salinan Surat Jawapan KDYMM Sultan Pahang

Transelasi Surat jawapan KDYMM Sultan Pahang :

Daripada Yang Maha Mulia Kepada Yang Berhormat Tuan Residen

Wa-ba'dah daripada itu, ehwal Beta memaklumkan ke majlis paduka sahabat Beta warkatul-ikhlas nombor 1675-10/1924 tarikh 1 Mei 1925 telah wasal dan faham. Maka berbanyaklah beta menerima kasih di atas kelulusan Tuan Yang terutama di atas Lagu Perang Pahang itu dijadikan Lagu Negeri Pahang dan akan digunakan (?) perasmian Federal Council bagi Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Hanyalah Beta memaklumkan serta berbanyak-banyak tabik jua adanya.
8.5.25

Rujukan : Dato' Yaakob Isa, Meneliti di Celah-Celah Fail Arkib Negara Malaysia dalam Monograf Pahang Dalam Sejarah VII, 1997.

Asal Usul Logo Tenun Pahang DiRaja

Baru-baru ini saya menerima e-mail dari seorang pemantau setia Pancapersada yang menimbulkan persoalan tentang logo Tenun Pahang DiRaja (gambar kiri). Beliau ingin tahu adakah benar logo tersebut merupakan gabungan antara simbol kesultanan Johor dan kesultanan Pahang? Persoalan ini memang menarik untuk dibincangkan kerana Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti al-Mutawakkil ‘Alallah Almarhum Sultan Iskandar merupakan Pengasas yang menggerakkan Tenun Pahang sehingga dapat diisytiharkan sebagai Tenun DiRaja pada tanggal 8 Mei 2006 Kampung Budaya Pulau Keladi, Pekan. Kebetulan pula, simbol mahkota amat sinonim dengan institusi kesultanan Johor.


Sebenarnya logo yang digunakan dalam produk Tenun Pahang DiRaja merupakan cogan asal (The Coat of Arms) Kesultanan Pahang. Cogan ini (gambar kanan) pernah digunakan semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmad Shah 1. Berdasarkan sejarah, cop mohor ini hanya wujud selepas memperolehi limpah pekenan KDYMM Sultan Pahang pada 31 Disember 1947. Lebih awal dari itu, perbincangan mengenai penggunaan cogan ini telah dimulakan pada awal tahun 1947 setelah YAM Tengku Besar Pahang selaku Yang DiPertua Jawatankuasa Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang telah diberikan tanggungjawab menguruskan perkara ini. YAM Tengku Besar telah melantik YDH Dato' Shabandar dan Dato' Setia Jaya untuk membuat rekaciptanya. Rekacipta Cop Mohor Pahang ini adalah berdasarkan kepada Cogan Negeri Pahang itu sendiri. Pada peringkat awal, cogan Pahang adalah berbentuk sebuah mahkota. Bahagian atasnya terdapat bentuk mata lembing yang diapit di kiri dan kanan bahagian bawahnya dengan huruf jawi yang berbunyi Ya Latif (The Gentle One) di bahagian bawah mahkota terdapat sepasang gading gajah bersilang.

Cogan yang pertama ini akhirnya diubahsuai dengan meniadakan mahkota dan dimasukkan motif daun kopi sebagaimana yang ada sekarang. Perkataan Ya Latif pula dikekalkan.

Tiga bentuk cadangan awal Cop Mohor negeri Pahang

Semasa proses merekabentuk Cop Mohor Pahang dilakukan, pasukan rekabentuk juga menggunakan Cop Mohor Selangor, Perak dan Johor sebagai contoh dan rujukan. Satu perkara yang menarik mengenai hal ini adalah tentang kekeliruan yang mana lebih tepat antara perkata "Mohor" atau "Mahar". Catatan pada kulit fail oleh KDYMM Sultan Pahang pada 10 Jun 1947 ada mencatatkan :

Berkenaan reka acuan cap dalam ini sudah molek nampaknya, melainkan tentang ejaan "mohor" atau "mahar" yang beta tidak berani berkata yang mana satu ejaan yang betul. Oleh itu jika bersetuju jua elok ditangguhkan pada perjumpaan yang akan datang supaya dapat bertanya Dato' Setia Jaya (rujuk Dato' Yaakob Isa, Meneliti di Celah-Celah Fail Arkib Negara Malaysia dalam Monograf Pahang Dalam Sejarah VII, 1997).

Cop Mohor Negri Pahang yang telah diperkenankan

Sunday, August 15, 2010

Mesyuarat Agong Badan Kebajikan Kerabat Pahang 2010

Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang telah melangsungkan Mesyuarat Agong Tahunan pada 14 Ogos 2010 / 4 Ramadhan 1432 bertempat di Dewan Utama Kompleks Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pekan yang dihadiri oleh Kerabat Bergelar (penerima pencen siasah), Kerabat DiRaja dan Ahli Kerabat.


KDYTM Tengku Mahkota Pahang telah berkenan berangkat ke majlis ini dan turut mempengerusikan Mesyuarat Agong tersebut. Selain mesyuarat, turut diadakan majlis anugerah kecemerlangan pelajar kepada anak-anak ahli kerabat dan juga majlis berbuka puasa.