Carian di Pancapersada

Yang Sudi Singgah

Tuesday, July 13, 2010

Royal Pahang 1 Ungguli Liga Antarabangsa : Tebus kekalahan dalam Kejohanan RPC’ 10

Tengku Abdullah bersama pemain RP 1 menjulang trofi kejohanan Liga RMPA 2010

Royal Pahang 1 (RP 1) muncul sebagai juara Liga Antarabangsa Royal Malaysia Polo Association (RMPA) 2010 selepas mendapat tempat kedua dengan kutipan 8 mata pada Kejohanan Royal Pahang Classic di Arena Polo Pekan, Sabtu lalu. Kejayaan menjulang Piala Liga RMPA pasti menceriakan selepas gagal merampas Piala Royal Pahang Classic selama tiga tahun berturut-turut. RP 1 diketuai oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah, Emelio Del Campo, Gaston Moore, Rafael Silva dan pemain simpanan, YM Tengku Rohanim Tengku Abdul Hamid.

Cita-cita besar RP 1 untuk mencipta sejarah juara berganda tidak kesampaian apabila kecundang di tangan RJPC 1 dipimpin KDYTM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan kekalahan tipis, 5 - 6. Apa yang menarik dalam perlawanan akhir tersebut ialah apabila seawal chukka kedua, KDYTM Tengku Mahkota Pahang berhasil merembat masuk hantaran Gastor Moore ke gawang lawan dari jarak 20 meter. Secara umumnya kedua-dua pasukan benar-benar bertarung sengit untuk mendapatkan gol. Namun ternyata RJPC 1 mempunyai beberapa kelebihan, antaranya kerana memiliki Raul Laplacette (6 handicap peribadi) yang berjaya menambah dua gol menerusi gol padang pada akhir chukka kedua, menjadikan RJPC 1 mendahului 4 – 1 dan seterusnya mengambil pukulan penalti dalam masa kecederaan untuk mencatat kemenangan mutlak 6 - 5. Untuk rekod, Laplacette sebelum ini pernah menyarung jersi Royal Pahang 1.

Sebelum memulakan sirkit akhir itu, RP 1 dan Thai Polo tampak sukar digugat apabila mendahului di carta liga, 24.5 mata. Manakala pasukan Ranhill - Jogo di tempat ketiga, 1Malaysia, keempat dan RJPC 1, kelima.

Pasukan pencabar gagal menyekat kemaraan pasukan RP 1 untuk menjulang piala itu. Pasukan Thai Polo mengumpul 30.5 muncul naib juara Liga RMPA selepas menang tempat keempat di sirkit akhir. Manakala pasukan Ranhill yang diketuai Tan Sri Hamdan Mohammad, ketiga dan RJPC 1 sekalipun muncul juara Royal Pahang Classic sekadar di tempat keempat musim ini.

Liga RMPA disertai 11 pasukan, RP 1, Thai Polo, Ranhill - Jogo, 1Malaysia, Royal Johor Polo Club 1 (RJPC 1), La Sarita, Bunga Raya, Head Hunters, RJPC 2, RP 2 dan Terengganu Polo. Bagaimanapun, pasukan Bunga Raya dan RP 2 menarik diri daripada sirkit terakhir. Tirai Liga RMPA musirn ini bermula pada Kejohanan Thai Master, Terbuka Thai yang berlangsung di Pattaya, Thailand, diikuti Terbuka Royal Selangor dan Terbuka Malaysia. Sirkit terakhir Liga RMPA ialah Kejohanan Royal Pahang Classic yang berakhir di Arena Polo RP semalam.

Penyampaian Piala Liga Antarabangsa RMPA dan hadiah disempurnakan Yang Dipertua Penasihat Pemangku Raja Terengganu, YAM Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Dato' Seri Baderul Zaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud yang juga Tirnbalan PresidenRMPA. Turut menyaksikan perlawanan, YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Ahmad Shah.

Tahniah Royal Pahang 1...

Sunday, July 11, 2010

Pahang dan Polo

Berikut merupakan terjemahan bebas wawancara KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah bersama Dato' Abdul Aziz Rahman. Teks asal dalam bahasa Inggeris (rujuk http://rmpa.org.my/news/news_body.php?id=13 untuk bacaan lanjut)

Asal-Usul Polo di Pahang

Segalanya bermula setelah nenda kepada KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah iaitu Sultan Perak ke-30, Almarhum Paduka Sri Tuanku Sultan Sir Iskandar Shah al-Kaddasu'llah ibni Almarhum Sultan Sir Idris Murshid al-Azzam Shah yang berkenan menghadiahkan seekor kuda polo sempena istiadat perkahwinan puteri baginda, Almarhumah Raja Fatimah dengan Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin al-Muazzam Shah pada tahun 1926. Sejurus selepas itu, Royal Pahang Polo Club telah ditubuhkan.

Hasil dari dokongan kerabat diraja serta masyarakat di Pekan, sukan polo telah mengalami perkembangan yang memberansangkan. Seawal tahun 1938, Almarhum Sultan Abu Bakar telah menyertai beberapa pertandingan polo yang dianjurkan, bahkan baginda sendiri telah mengetuai pasukan polo ke kejohanan Piala Batavia di Indonesia. Selepas itu juga pasukan Royal Pahang telah aktif menyertai beberapa kejohanan di Singapura, Johor and Brunei. Sejak tahun 1967 – hinggalah ke generasi ketiga sekarang – pertandingan antara Royal Pahang dengan Manila Pola telah diadakan secara tahunan.Tuanku Sultan Ahmad Shah dan Polo

KDYMM Sultan Ahmad Shah sendiri mula berjinak-jinak dengan sukan polo seawal tahun 1957 tatkala usia baginda 27 tahun dan baru 3 tahun mendirikan mahligai rumahtangga. Menurut baginda, tatkala itu YAM Tengku Arif Bendahara begitu tekun melatih baginda dalam sukan polo dan sedikit demi sedikit Tuanku telah berjaya menaikkan handicap dari – 4 ke 0. Pada kemuncak karier Tuanku dalam polo, baginda bermain sejumlah 5-gol handicap.

Kejohanan Paling Diingati

Antara yang paling diingati ialah ketika pasukan Royal Pahang Polo Club yang diketuai Almarhum Sultan Abu Bakar telah berjaya menewaskan pasukan Singapura. Selain KDYMM Sultan Ahmad Shah, pasukan tersebut turut dianggotai oleh Talha dan Cik Ismail.

Pada tahun 1973 pula, pasukan Pahang pernah menang dalam kejohanan di Manila. Yang manisnya ketika itu, Almarhum Sultan Abu Bakar merupakan tetamu negara kepada Presiden Filipina.

Selain itu, kejohanan di Brunei juga sentiasa menjadi kenangan kerana ketika itu pasukan KDYMM Sultan Ahmad Shah turut disertai oleh kedua-dua anakanda putera Tuanku iaitu KDYTM Tengku Mahkota, YAM Tengku Muda dan turut disertai oleh YAM Tengku Asmawi.

Kenangan Manis

Peluang bermain bersama tokoh-tokoh terkenal merupakan kenangan yang paling manis; antaranya dengan Duke of Edinburgh Putera Phillip (suami kepada Queen Elizabeth II), Almarhum Sultan Johor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Brunei; Lord Beresford, Lt. Kol. Jeremy Railton, Zobelle Vijay Lukshumeya dan juga Skrin.


ROYAL MALAYSIAN POLO ASSOCIATION (RMPA)


Penaung

KDYMM Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah Ibni Almarhum Al-Mustasim Billah Al-Sultan Abdullah.

KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muazam Shah.

Presiden

KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah

Timbalan Presiden

YAM Tengku Sri Panglima Raja Terengganu, Tengku Dato' Seri Baderulzaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktaffi Billah Shah

YH Dato' Mohamed Moiz bin Jabir Mohd. Ali Moiz

Setiausaha Agong

YH Dato' M. David Morais

Bendahari Agong

Mohamed Zekri bin Dato' Hj. Ibrahim

Saturday, July 10, 2010

Royal Pahang Classic 2010

Banner laman web Royal Malaysia Polo Association (RMPA)

Pasukan Royal Pahang 1 akan menurunkan barisan utama dalam aksi akhir Kejohanan Polo Royal Pahang Classic 2010 di Arena Polo, Pekan Bandar DiRaja. Pasukan Royal Pahang 1 layak ke peringkat akhir selepas menyingkirkan pasukan The Thai Polo Team, 5 - 4 dalam perlawanan sengit sebaik bermula chukka pertama hinggalah ke wisel penamat. Lawan seterusnya dalam peringkat akhir ialah pasukan Royal Johor Polo Club 1 (RJPC) yang dianggotai oleh KDYTM Tengku Mahkota Johor, dua pemain profesional Argentina iaitu Santiago Cernadas dan Raul Laplacette serta Sofyan Rashid. Sebelum itu, pasukan RJPC telah menang tipis ke atas pasukan La Sarita, 4 - 1 / 2 - 4 gol.

Pasukan Royal Pahang 1 terdiri daripada KDYTM Tengku Mahkota Pahang (kiri) dan 3 pemain profesional dari Argentina iaitu Emelio del Campo, Gaston Moore, Rafael Silva serta YM Tengku Rohanim bin Tengku Abd. Hamid (tiada dalam gambar) dengan 14 jumlah handicap sepasukan. Secara tidak rasmi, Piala Liga RMPA ini telah berada dalam genggaman Royal Pahang 1 yang berkongsi 24.5 mata dengan Thai Polo Team hasil empat sirkit sebelum ini.

KDYTM Tengku Mahkota Pahang (helmet kuning) dan pemain Thai Polo, Caroline Link (helmet merah) berusaha merebut bola. Royal Pahang 1 menang 5 - 4

Perlawanan akhir sebanyak 4 chukka ini akan menentukan siapakah juara mutlak Piala Royal Pahang Classic dan Liga Antarabangsa Royal Malaysia Polo Association (RMPA). Kejohanan ini merupakan sirkit terakhir untuk perebutan Piala Liga RMPA musim 2009/2010. Perkiraan mata dalam sirkit ini ialah Juara 9 mata, Naib Juara 7 mata, tempat ketiga 6 mata dan tempat keempat 4 mata.


Wednesday, July 7, 2010

Pameran Tenun DiRaja Pahang

Koleksi ekslusif dan hasil tenunan peribadi KDYTM Tengku Puan Pahang akan dipamerkan bersempena dengan Pameran Khas Tenun DiRaja Pahang bertempat di Muzium Tekstil (berhampiran Jalan Sultan Hishamuddin).
Pameran yang telah bermula sejak 26 Jun lalu dan akan berakhir pada 31 Ogos nanti, turut menempatkan koleksi tenunan kain milik peribadi keluarga Almarhum Tun Abdul Razak yang ada antaranya telah berusia ratusan tahun.

Festival Di Raja : Pelancongan, Makanan dan Kebudayaan Negeri Pahang 2010

Tempat : Menara Kuala Lumpur

Tarikh : 9 - 11 Julai 2010 (Jumaat - Ahad)

Masuk percuma

* Anak-anak Pahang khususnya yang berdekatan dengan Menara KL tu, silalah hadir kalau tak renyuh